Sunday, May 24, 2009

Pemerintahan 'Umar Al-Khattab r.a

Zaman pemerintahan Khalifah Umar telah dikenali sebagai Zaman Kegemilangan Islam (The Golden of Age). Khalifah ‘Umar al-Khattab yang juga dikenali dengan gelaran al-Farouq yang bermaksud orang yang dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan dan berketurunan Bani Adi, telah berjaya memerintah selama 10 tahun iaitu dari tahun 634 hingga 644 Masihi bersamaan dengan 13 hingga 23 Hijrah.


PENCALONAN
Sebelum khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a wafat, beliau mencalonkan nama seorang sahabat Rasulullah, Umar al-Khattab sebagai peganti pemergian beliau dalam meneruskan jawatan khalifah. Sebelum itu khalifah Abu Bakar r.a telah berbincang dengan para sahabat yang lain antaranya, ‘Abdul Rahman bin ‘Auf dan ‘Uthman bin ‘Affan yang kedua-duanya merupakan golongan Muhajirin, serta Usayd bin Hudayr yang daripada kalangan golongan Ansar.

Pencalonan yang dibuat ke atas Umar bukanlah disebabkan hubungan peribadi, tetapi bertujuan untuk meneruskan dasar pemerintahan Madinah yang telah mecapai kejayaan yang besar sepanjang pemerintahan khalifah Abu Bakar diatas berkat pertolongan ‘Umar selaku penolong kanan khalifah, penasihat dan juga kadi pada masa itu. Tambahan pula, ‘Umar mempunyai kebolehan dan kualiti kepimpinan yang tinggi selain pengorbanan yang banyak dilakukan beliau sepanjang pengislaman beliau. Setelah mencapai persetujuan ramai, semua para sahabat membai’ah ‘Umar dan diikuti oleh orang ramai. Selesai upacara perlantikan, ‘Umar berdiri diatas mimbar untuk menyampaikan ucapan dasarnya. Antara isi yang terkandung dalam ucapan itu adalah :

“Adalah dibandingkan kaum Arab ini seperti seekor unta jinak yang diberi tali. Unta ini akan menurut siapa yang memandunya. InsyaAllah saya akan membawa kamu kejalan yang benar.”

Akhirnya Saidina ‘Umar al-Khattab r.a menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dimana beliau merupakan khalifah kedua di dalam Khulafa al-Rasyidun.



SUMBANGAN

Antara sumbangan terbesar beliau ialah pembahagian yang dibuat oleh beliau keatas wilayah-wilayah Islam kepada beberapa bahagian iaitu Kufah, Basrah, Syam, Jazirah (Mesopotamia) Mausil, Yaman dan Bahrain. Beliau melantik beberapa orang pegawai disetiap wilayah yang terdiri daripada seorang wali (Gabenor), seorang Setiausaha, pegawai di Jabatan Tentera (Khatib al-Diwan), pegawai Pemungut Cukai (Sahib al-Kharaj), pegawai Polis (Sahib al-Shurtah), pengurus Perbendaharaan Negara (Sahib Baitulmal), dan Ketua Hakim (Kadi). Khalifah ‘Umar juga telah menubuhkan institusi Baitul Mal yang berfungsi sebagai pusat penyimpanan harta kerajaan dimana, sumber-sumbernya diperoleh daripada Zakat, Ghanimah (harta rampasan perang), Fai (harta rampasan tanpa perang), Jizyah (cukai perlindungan), Kharaj (cukai tanah), Usyur (cukai perniagaan) serta harta peninggalan orang mati yang tidak mempunyai waris. Dari segi pentadbiran tanah pula, khalifah ‘Umar membahagikan tanah kepada dua jenis iaitu tanah dhimmah, dimana ia merupakan tanah yang bertuan dan tanah sawafi iaitu tanah yang tidak bertuan. Tanah dhimmah diuruskan oleh pemilik asalnya manakala, tanah sawafi diuruskan oleh mereka yang dilantik daripada golongan ahl-ayyam iaitu golongan peneroka dan tanah ini tidak boleh dibeli mahupun dimiliki sesiapa untuk mengelakkan berlakunya perpecahan.



KEWAFATAN
Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a telah wafat sewaktu umurnya 63 tahun pada hari Rabu bersamaan 25 Dzulhijjah 23 H/644 Masihi ketika beliau menjadi imam solat di Masjid al-Nabawi, Madinah. Beliau ditikam sebanyak enam kali oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah kerana dendam peribadinya terhadap khalifah. Khalifah ‘Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan selamat dikebumikan bersebelahan dengan makam Nabi Muhammad s.a.w dan makan Saidina Abu Bakar r.a.

No comments: