Sunday, May 24, 2009

Pemerintahan 'Ali bin Abi Talib r.a

Khalifah ‘Ali bin Abi Talib yang berketurunan Bani Hashim pula merupakan khalifah keempat dan terakhir dalam pemerintahan Khulafa’ ur-Rasyidin. Beliau juga merupakan sepupu dan menantu Nabi Muhammad s.a.w. selepas mengahwini anak perempuan Rasulullah s.a.w. iaitu Fatimah. Beliau telah berjaya memerintah selama 5 tahun iaitu dari tahun 656 hingga 661 Masihi bersamaan dengan 35 hingga 40 Hijrah.


PENCALONAN
Perlantikan ‘Ali sebagai khalifah banyak dipengaruhi oleh keadaan pada masa itu. ‘Ali dilantik menjadi khalifah pada 23 Jun 656M bersamaan 25 Zulhijjah 35H dimana perlantikan dibuat kebanyakkannya daripada masyarakat Islam Madinah iaitu golongan Ansar, termasuklah kaum pemberontak Kufah yang merupakan penyokong kuat ‘Ali.

SUMBANGAN
Sumbangan terbesar khalifah ‘Ali adalah kesanggupan beliau dalam meneruskan jawatan sebagai khalifah disaat berlakunya perpecahan dikalangan umat Islam. Selain itu, beliau menubuhkan markas tentera di sempadan Syria dan kutipan jizyah diteruskan.

KEWAFATAN
Khalifah ‘Ali bin Abi Talib r.a telah wafat pada hari Jumaat bersamaan 17 Ramadhan tahun 40H ketika berusia 62 tahun. Khalifah ‘Ali ditetak oleh Ibn Muljam pada waktu subuh sebagai pembalasan dendam diatas kematian rakan-rakannya di Nahrawan.

Pemerintahan 'Uthman bin ‘Affan r.a

Khalifah ‘Uthman bin’Affan terkenal dengan gelaran Zulnurain kerana mengahwini dua orang puteri Rasulullah s.a.w dan berketurunan Bani Umayyah telah berjaya memerintah selama 12 tahun iaitu dari tahun 644 hingga 656 Masihi bersamaan dengan 23 hingga 35 Hijrah dan merupakan khalifah ur-Rasyidin yang ketiga dalam Islam. Pemerintahan beliau dikatakan aman pada enam tahun yang pertama dan huru-hara pada enam tahun berikutnya.


PENCALONAN
Sebelum kewafatan khalifah ‘Umar, beliau dikatakan ada menyenaraikan beberapa nama yang dipilih dikalangan para sahabat untuk meneruskan pucuk pimpinan beliau sebagai khalifah. Ini adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya perebutan kuasa yang akhirnya menyebabkan perpecahan dikalangan umat Islam sendiri. Nama yang disenaraikan khalifah ‘Umar adalah ‘Uthman bin ‘Affan, Ali bin Abu Talib, Sa’ad bin Abi Waqqas, Zubayr bin ‘Awwam, ‘Abd Rahman bin ‘Auf dan Talhah bin Ubaidillah. Setelah berlalunya tiga hari selepas ‘Umar selamat dimakamkan, keenam-enam calon ini berkumpul dan bermesyuarat dirumah salah seorgang sahaba yang bernama al-Miswar bin Makhramah. Riwayat lain ada mengatakan di rumah Saidatina ‘Aisyah. Setelah penarikan diri yang dibuat oleh 3 orang sahabat iaitu Talhah bin Ubaidillah r.a, Sa’ad bin Abi Waqqas, dan Zubayr bin ‘Awwam, akhirnya pencalonan dibuat hanya pada salah seorang diantara ‘Uthman bin ‘Affan dan ‘Ali bin Abi Talib, dimana ‘Abd Rahman bin ‘Auf telah meminta kebenaran untuk mengadili proses perlantikan dan menarik diri daripada senarai pencalonan.


Antara usaha ‘Abd Rahman bin ‘Auf dalam mengendalikan proses pemilihan khalifah ialah meminta nasihat dan pendapat daripada pihak tertentu seperti para sahabat yang karib dengan Rasulullah dan juga ketua-ketua kabilah. Hasil tinjauan itu, beliau mendapati terdapat golongan yang memihak ‘Uthman dan tidak kurang juga yang memihak pada ‘Ali. Akhirnya ‘Abd Rahman bin ‘Auf memilih untuk bertanya sendiri kepada kedua-dua sahabat Rasulullah itu tentang kesanggupan masing-masing dalam memikul tanggungjawab sebagai khalifah. Dengan ketegasan dan kesungguhan jawapan yang telah ditunjukkan ‘Uthman, ‘Abd Rahman bin ‘Auf terus melantik ‘Uthman sebagai khalifah yang baru tanpa teragak-agak. Khalifah ‘Uthman telah selamat dibai’ahkan pada bulan Zulhijjah 23H dan ditabalkan menjadi khalifah pada bulan Muharram 24H. Antara isi ucapan dasar beliau adalah :


“Segala puji bagi Allah, Tuhan Segala Alam, selawat dan salam ketas junjungan kita Nabi Muhammad (saw). Wahai sekalian manusia, bahawasanya kamu berada dalam suatu benteng dan kehidupan kamu dalam usia yang sangat singkat. Dalam tempoh yang singkat itu maka kamu akan menemui ajal. Ketahuilah bahawa dunia ini penuh dengan tipu daya. Maka janganlah kamu tertipu dengan kemewahan hidup serta tipu daya dunia. Ambillah contoh daripada orang yang terdahulu daripada kamu dan berusahalah dengan penuh kesabaran sepanjang waktu”


SUMBANGAN
Antara sumbangan terbesar yang dilakukan khalifah ‘Uthman sepanjang pemerintahannya ialah tentang kesanggupan beliau dalam menyumbang harta dan kekayaannya untuk pertahanan Negara. Selain itu, usaha beliau dalam menyambung usaha khalifah Abu Bakar dalam pengumpulan dan pembukuan al-Qur’an didalam satu naskhah. Khalifah ‘Uthman juga memutuskan supaya diadakan hanya satu bentuk al-Qur’an sahaja iaitu mengikut loghat Quraisy dan ia kemudiannya dinamakan Mashaf ‘Uthmani. Khalifah juga telah membesarkan jumlah angkatan tentera darat dan laut yang akhirnya banyak memberi kesan terhadap perluasan kuasa dan wilayah Negara Islam sendiri.


KEWAFATAN
Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan r.a wafat pada umur 80 tahun pada Zulhijjah tahun 35H ketika sedang membaca al-Qur’an. Sumber lain ada mengatakan khalifah ‘Uthman wafat ketika umurnya 82 tahun. Beliau telah dibunuh dirumahnya sendiri oleh golongan pemberontak dan jenazah beliau selamat dikebumikan di tanah perkuburan al-Baqi’, Madinah.

Pemerintahan 'Umar Al-Khattab r.a

Zaman pemerintahan Khalifah Umar telah dikenali sebagai Zaman Kegemilangan Islam (The Golden of Age). Khalifah ‘Umar al-Khattab yang juga dikenali dengan gelaran al-Farouq yang bermaksud orang yang dapat membezakan antara kebenaran dan kebatilan dan berketurunan Bani Adi, telah berjaya memerintah selama 10 tahun iaitu dari tahun 634 hingga 644 Masihi bersamaan dengan 13 hingga 23 Hijrah.


PENCALONAN
Sebelum khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a wafat, beliau mencalonkan nama seorang sahabat Rasulullah, Umar al-Khattab sebagai peganti pemergian beliau dalam meneruskan jawatan khalifah. Sebelum itu khalifah Abu Bakar r.a telah berbincang dengan para sahabat yang lain antaranya, ‘Abdul Rahman bin ‘Auf dan ‘Uthman bin ‘Affan yang kedua-duanya merupakan golongan Muhajirin, serta Usayd bin Hudayr yang daripada kalangan golongan Ansar.

Pencalonan yang dibuat ke atas Umar bukanlah disebabkan hubungan peribadi, tetapi bertujuan untuk meneruskan dasar pemerintahan Madinah yang telah mecapai kejayaan yang besar sepanjang pemerintahan khalifah Abu Bakar diatas berkat pertolongan ‘Umar selaku penolong kanan khalifah, penasihat dan juga kadi pada masa itu. Tambahan pula, ‘Umar mempunyai kebolehan dan kualiti kepimpinan yang tinggi selain pengorbanan yang banyak dilakukan beliau sepanjang pengislaman beliau. Setelah mencapai persetujuan ramai, semua para sahabat membai’ah ‘Umar dan diikuti oleh orang ramai. Selesai upacara perlantikan, ‘Umar berdiri diatas mimbar untuk menyampaikan ucapan dasarnya. Antara isi yang terkandung dalam ucapan itu adalah :

“Adalah dibandingkan kaum Arab ini seperti seekor unta jinak yang diberi tali. Unta ini akan menurut siapa yang memandunya. InsyaAllah saya akan membawa kamu kejalan yang benar.”

Akhirnya Saidina ‘Umar al-Khattab r.a menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dimana beliau merupakan khalifah kedua di dalam Khulafa al-Rasyidun.



SUMBANGAN

Antara sumbangan terbesar beliau ialah pembahagian yang dibuat oleh beliau keatas wilayah-wilayah Islam kepada beberapa bahagian iaitu Kufah, Basrah, Syam, Jazirah (Mesopotamia) Mausil, Yaman dan Bahrain. Beliau melantik beberapa orang pegawai disetiap wilayah yang terdiri daripada seorang wali (Gabenor), seorang Setiausaha, pegawai di Jabatan Tentera (Khatib al-Diwan), pegawai Pemungut Cukai (Sahib al-Kharaj), pegawai Polis (Sahib al-Shurtah), pengurus Perbendaharaan Negara (Sahib Baitulmal), dan Ketua Hakim (Kadi). Khalifah ‘Umar juga telah menubuhkan institusi Baitul Mal yang berfungsi sebagai pusat penyimpanan harta kerajaan dimana, sumber-sumbernya diperoleh daripada Zakat, Ghanimah (harta rampasan perang), Fai (harta rampasan tanpa perang), Jizyah (cukai perlindungan), Kharaj (cukai tanah), Usyur (cukai perniagaan) serta harta peninggalan orang mati yang tidak mempunyai waris. Dari segi pentadbiran tanah pula, khalifah ‘Umar membahagikan tanah kepada dua jenis iaitu tanah dhimmah, dimana ia merupakan tanah yang bertuan dan tanah sawafi iaitu tanah yang tidak bertuan. Tanah dhimmah diuruskan oleh pemilik asalnya manakala, tanah sawafi diuruskan oleh mereka yang dilantik daripada golongan ahl-ayyam iaitu golongan peneroka dan tanah ini tidak boleh dibeli mahupun dimiliki sesiapa untuk mengelakkan berlakunya perpecahan.



KEWAFATAN
Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a telah wafat sewaktu umurnya 63 tahun pada hari Rabu bersamaan 25 Dzulhijjah 23 H/644 Masihi ketika beliau menjadi imam solat di Masjid al-Nabawi, Madinah. Beliau ditikam sebanyak enam kali oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah kerana dendam peribadinya terhadap khalifah. Khalifah ‘Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan selamat dikebumikan bersebelahan dengan makam Nabi Muhammad s.a.w dan makan Saidina Abu Bakar r.a.